8 daripada 11 pemain Skuad Double Treble berasal daripada Kedah!!!

Semua sedia tahu, hanya satu pasukan yang pernah mengecapi gelaran 'Double Treble' di saingan Liga Malaysia sehingga hari ini iaitu pasukan kesayangan kita, Kedah Darul Aman. Bukan senang untuk mengimpikan perkara tersebut. Kejayaan sebegini hanya boleh dikecapi apabila sesuatu pasukan itu berada dalam keadaan yang cukup stabil dari segi keharmonian dan kestabilan diantara tiga penjuru iaitu pemain, pentadbiran dan penyokong. Kedah boleh dikatakan mempunyai bakat yang luar biasa dalam bola sepak. Ini menjadi tunjang utama kejayaan pasukan Kedah pada masa tersebut.  Kesebelasan pasukan double treble Kedah  masih menjadi igauan penyokong sehingga hari ini. Namun tidak semua tahu, 8 daripada 11 pemain pasukan tersebut semuanya berasal daripada Kedah. Baki tiga pemain lain adalah pemain import iaitu Nelson, Huggins dan Marlon.

Foto ini diambil apabila Kedah beraksi menentang Pasukan Selangor dalam saingan Piala Malaysia. Perlawanan akhir tersebut menyaksikan, Kedah menumpaskan pasukan yang digelar red giants itu dengan jaringan 3-2. Dengan kejayaan itu, Kedah  mula digelar sebagai double treble. Perlawanan tersebut juga telah menjadi perlawanan terakhir kepada pemain import dalam kancah Liga Malaysia, apabila pemain import telah diharamkan pada musim seterusnya. Jom kita saksikan kesebelasan pasukan Kedah dan sedikit sebanyak tentang pemain yang kita pernah sayangi;

Penjaga Gol : Helmi Eliza Elias


Helmi Eliza merupakan antara penjaga gol yang berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia. Helmi pernah beraksi dengan beberapa pasukan, tetapi zaman kemuncak beliau apabila semasa mengemudi posisi penjaga gol Kedah pada zaman double treble. Beliau merupakan antara penjaga gol yang paling banyak beraksi bersama Kedah iaitu pada tahun 2002 sehingga 2012. Walaupun beliau tidak bersama pasukan Kedah pada ketika ini, jasa beliau bersama pasukan Kedah adalah sangat besar dan boleh dikatakan sebagai lagenda bola sepak Kedah Darula Aman.

Umur : 39 tahun

Asal   : Alor Setar, Kedah

Pasukan Sekarang : Sri Pahang FC

Pemain Pertahanan : Victor Andrag


Victor Andrag merupakan lagenda yang cukup sinonim dengan bola sepak Kedah Darul Aman. Beliau boleh dikelaskan seperti Steven Gerrard di liverpool dan Giggs di Man Utd. Hal ini kerana, beliau hanya beraksi kepada negeri beliau iaitu Kedah atas perasaan cinta terhadap negerinya. Beliau memulakan karier bersama pasukan Kedah pada tahun 2002 sehingga 2010. Atas semangat berpasukan beliau, beliau telah dipilih sebagai kapten pasukan. Beliau boleh berasa bangga apabila dia merupakan satu-satunya kapten double treble di Malaysia. Jiwa beliau masih bersama pasukan Kedah dan hasilnya, beliau menjadi penolong jurulatih Pasukan Kedah pada masa kini

Umur : 45 tahun

Asal   : Kedah

Pasukan Sekarang : Kedah FC (Penolong Jurulatih)

Pemain Pertahanan : Cornelius Huggins


Huggins merupakan antara 3 import yang paling disenangi oleh para penyokong Kedah. Huggins telah membentuk pertahanan yang mantap bersama  Victor Andrag di bahagian tengah. Beliau telah bersama pasukan Kedah dari 2004 sehingga 2008. Beliau terpaksa meninggalkan bumi darul aman apabila FAM telah memutuskan untuk tidak membenarkan pemain import pada musim seterusnya.

Umur : 47 tahun

Asal   : St Vincent

Pasukan Sekarang : Bersara daripada bola sepak

Pemain Pertahanan : V.Thirumurugan


Thirumurugan merupakan seorang pemain pertahanan di bahagian bek kanan pasukan Kedah. Thiru boleh dikatakan antara pertahanan bek kanan terbaik Malaysia pada masa 2007/2008. Beliau juga menjadi pertaruhan pasukan Malaysia di AFC Cup 2007. Selepas beliau telah memilih haluan berbeza, Rizal Ghazali telah melaksanakan tugas dengan baik di bahagian pertahanan kanan pasukan Kedah.

Umur : 39 tahun

Asal   : Gurun, Kedah

Pasukan Sekarang : Bersara daripada bola sepak

Pemain Pertahanan : Shafizan Hashim "Pelam"


Shafizan yang lebih dikenali dengan "pelam" boleh dikatakan pertahanan kiri yang terbaik pernah Kedah ada setakat ini. Beliau merupakan seorang pemain yang cukup rajin dan berdedikasi di bahagian sayap. Beliau boleh dikelaskan antara lagenda pasukan Kedah atas penampilan beliau sebanyak 129 kali bersama pasukan Kedah.

Umur : 39 tahun

Asal   : Kedah

Pasukan Sekarang : Bersara daripada bola sepak

Pemain Tengah : Nelson San Martin


Pemain yang berasal daripada Chile ini merupakan engin utama pasukan Kedah pada zaman Double Treble. Saya rasa semua masih ingat, apabila pada 2007  Kedah tidak dapat menggunakan khidmat Marlon dan Huggins di Final Piala FA. Namun tetapi, Kedah tidak goyah dan menggunakan pengalaman Nelson untuk menjuarai Piala FA pada musim tersebut. Daripada 115 penampilan bersama Kedah, Nelson menjaringkan 85 gol. Beliau acap kali menjadi playmaker di bahagian tengah bagi pasukan Kedah.

Umur : 41 tahun

Asal   : Santiago, Chile

Pasukan Sekarang : Langkawi City (Jurulatih)

Pemain Tengah : Ahmad Fauzi Shaari


Pemain yang cukup sinonim dengan Kedah dan boleh dikelaskan lagenda adalah Ahmad Fauzi Shaari. Pemain ini tidak kurang hebatnya kalau dibandingkan dengan Nelson. Walaupun fizikal beliau adalah kecil, tetapi beliau bijak mengatur serangan dan selalu memerangkap pihak lawan. Beliau membuat penampilan sebanyak 95 kali dan telah mencetak 40 gol bersama pasukan Kedah.

Umur : 39 tahun

Asal   : Kulim,Kedah

Pasukan Sekarang : Bersara daripada bola sepak

Pemain Sayap : Badrol Bakhtiar

Badrol merupakan lagenda pasukan Kedah Darul Aman. Badrol mula beraksi bersama pasukan Kedah Darul Aman pada tahun 2005. Badrol cukup dikenali sebagai pemain yang berkaliber untuk pasukan Kedah dan menjadi lagenda apabila beliau bersama pasukan Kedah sehingga 2021. Kesetiaan beliau telah menjadikan beliau sebagai kapten pasukan Kedah untuk beberapa musim. Sepanjang 16 tahun bersama Kedah, beliau membuat penampilan sebanyak 296 kali dan menjaringkan 80 gol. Pada musim ini, beliau telah memilih haluan berbeza dengan bersama pasukan Sabah FC.

Umur : 34 tahun

Asal   : Kedah

Pasukan Sekarang : Sabah FC

Pemain Sayap : Fadly Baharum


Fadly Baharum antara pemain muda yang cepat menyerlah bersama pasukan Hijau Kuning. Beberapa jaringan diperingkat perlawanan akhir membuktikan Fadly bukan calang calang pemain dan cepat menyesuaikan diri bersama pasukan senior Kedah.

Umur : 33 tahun

Asal   : Kedah

Pasukan Sekarang : Bersara daripada bola sepak


Pemain Penyerang : Khyril Muhymeen


Khyril Muhymeen tidak kurang hebatnya kalau dibandingkan dengan Badrol Bakhtiar. Pemain ini antara bakat yang luar biasa dilahirkan oleh negeri Kedah. Pemain ini lebih dikenali sebagai pemain yang sentiasa menyusahkan pihak lawan dengan skill skill gelecek yang mengelirukan pihak lawan. Namun tetapi, beliau memilih haluan berbeza pada tahun 2014. Sepanjang bersama Kedah, beliau menjaringkan 36 gol.

Umur : 34 tahun

Asal   : Alor Setar,Kedah

Pasukan Sekarang : PJ City Fc

Pemain Penyerang : Marlon Alex James


Saya rasa semua penyokong Kedah setuju bahawa pemain import yang paling berjaya bersama Kedah setakat ini adalah Marlon Alex James. Marlon merupakan penyerang yang membantu Kedah untuk mejuarai Double Treble. Daripada 44 penampilan, Marlon menjaringkan 44 gol. Ini menunjukkan kewibawaan Marlon sebagai penyerang import yang prolifik

Umur : 45 tahun

Asal   : Saint Vincent

Pasukan Sekarang : Bersara daripada bolasepak

Diharapkan kesebelasan sebegini dapat dibentuk semula pada masa kini. Hal ini disebabkan, kesebelasan ini terlalu jitu dan bermain demi lencada di dada yang membawa kepada gelaran Double Treble kepada pasukan Kedah.

Pulun Kedah Pulun!!!



Ulasan