Kita semua kenali UEFA Champions League oleh sebab pertandingannya yang cukup sengit dan mampu menarik perhatian penyokong-penyokong dari serata dunia. UEFA Champions League melibatkan juara ataupun kelab-kelab terbaik dari setiap negara yang diberikan tiket untuk mewakili negara masing-masing. Ini merupakan satu penghormatan tertinggi kepada mana-mana kelab yang membawa status sebagai juara negara mereka di peringkat benua. Perkara yang sama berlaku di Benua Asia. Malaysia sentiasa mempunyai wakil bagi peringkat AFC Cup ataupun AFC Champions League. Sebelum JDT mula menjinak dalam peringkat AFC, salah satu kelab Malaysia yang paling dikenali di rantau Asia adalah pasukan kesayangan kita iaitu Kedah Darul Aman. Hal ini terbukti, dengan penglibatan pasukan Kedah FC sejak 2008 lagi. Pada tahun ini, kita semua semestinya tahu bahawa Kedah sekali lagi bakal menjejakkan kaki di peringkat Asia. Jom! Kita sama-sama mengimbas kembali dan menghayati perjalanan pasukan Kedah sejak mula mewakili Malaysia di peringkat AFC Cup dan Champions League.
AFC Cup 2008
Kedah telah diberi tiket untuk mewakili Malaysia dengan memegang status Juara Liga Super dan Juara Piala FA. Siapa saja yang tidak mengenali Pasukan Kedah Darul Aman yang pada masa itu mampu menyapu bersih kesemua piala yang dipertandingkan di Malaysia!? Liga Malaysia, Liga Super dan piala FA. Kebolehan mereka menyapu bersih satu musim adalah sesuatu yang sungguh menakjubkan tetapi perkara yang luar biasa adalah kemampuan Kedah melakukannya untuk dua tahun berturut-turut di mana mereka mendapat gelaran "Double Treble" yang tidak boleh diimpikan oleh mana-mana pasukan sampai sekarang. Kedah telah diundi bersama pasukan Home United (Naib Juara Liga Singapura), South China (Juara Liga Hong Kong) dan Victory (Juara Liga Maldives). Walaupun Kedah beraksi di peringkat Asia untuk kali pertama, Kedah tidak gugup dan mula mengorak langkah dengan mula mencipta kejutan demi kejutan. Antara perlawanan yang sentiasa berada dalam ingatan kesemua penyokong Hijau Kuning adalah, apabila Kedah membalas balik dengan membelasah Home Utd 4-1 di stadium keramat, iaitu Stadium Darul Aman setelah dikalahkan oleh pasukan tersebut di Singapura dengan 5-1.
Kedah juga dilihat tidak gentar apabila menghadapi pasukan-pasukan di kubu lawan, apabila menundukan pasukan South China di Hong Kong 3-1.
Kedah menundukkan South China di Hong Kong
Setelah mengharungi peringkat kumpulan, Kedah berjaya meloloskan diri ke peringkat Suku Akhir sebagai naib juara kumpulan di belakang Home United.
Sebelum mengharungi peringkat suku akhir, Kedah telah menerima satu berita yang mengejutkan di mana Liga Malaysia mengharamkan pemain import. Oleh itu, trio pemain import pasukan Kedah yang disegani telah dilepaskan oleh pasukan Kedah dan Kedah mengharungi baki aksi Piala AFC dengan ubi Kedah yang sedia ada.
Kedah yang telah diundi untuk menentang pasukan Al-Muharraq dari Bahrain, harus menempuh cabaran yang agak besar dengan menentang pemain-pemain pasukan negara Bahrain yang diperkuatkan lagi dengan beberapa pemain import. Akhirnya, Kedah terpaksa akur dengan keputusan di mana Kedah kalah 8-1 kepada pasukan dari timur tengah tersebut. Walau bagaimanapun, persembahan Kedah bertemu Al-Muharraq di Alor Setar harus diberi pujian apabila Kedah berhempas pulas sebelum tunduk 2-1. Pada edisi AFC Cup tersebut, Al-Muharraq dinobatkan sebagai juara setelah menumpaskan kelab dari Lebanon, Safa.
Kedah mempamerkan aksi yang memberangsangkan dengan Al-Muharraq
AFC CUP 2009
Pada tahun 2009, Kedah sekali lagi menjadi wakil Malaysia di peringkat AFC Cup dan kali ini, bersama-sama dengan pasukan Johor FC. Pada tahun ini juga, Kedah telah 100 peratus menggunakan pemain lokal akibat pergantungan pemain-pemain import dari Liga Malaysia.
Walaupun begitu, Kedah tidak berputus asa dan telah memberikan satu aksi yang menarik di peringkat kumpulan. Kedah telah diundi bersama pasukan Chonburi (Juara Liga Thailand), Eastern (Hong Kong Eastern Shield Winner) dan Hanoi (Juara Vietnam Cup). Dalam persaingan ini, Kedah telah berjaya meloloskan diri ke peringkat kalah mati. Ini jelas menunjukan ubi Kedah mampu menyaingi pemain-pemain luar negara. Kedah membawa cabaran ke peringkat kalah mati manakala Johor FC tersungkur diperingkat kumpulan
Antara aksi yang masih mengimbau memori penyokong Kedah Darul Aman FC adalah aksi menentang Chonburi di Stadium Darul Aman
Sebagai naib juara kumpulan, Kedah terpaksa menerima hakikat bahawa mereka harus menempuh jalan yang berliku di peringkat kalah mati. Kedah telah diundi bertemu Juara Vietnam iaitu Binh Duong yang diwakili rata-rata pemain kebangsaan Vietnam bersama pemain-pemain import yang berkaliber. Oleh sebab kedudukan Kedah sebagai naib juara kumpulan, Kedah hanya boleh beraksi sekali sahaja di Vietnam untuk menentukan kelayakan ke peringkat suku akhir. Hasilnya, Kedah tunduk kepada pasukan Vietnam tersebut dengan jaringan 8-2.
AFC Champions League 2020
Setelah hampir 11 tahun menyepi di peringkat Asia, Kedah akhirnya kembali menyinar. Kali ini, cabarannya lebih tinggi apabila Kedah ditawarkan slot untuk beraksi di AFC Champions League play off setelah muncul sebagai juara Piala FA 2019. Slot automatik ke peringkat kumpulan telah diberikan kepada pasukan JDT setelah menjuarai liga Super 2019. Impian Kedah untuk menyertai JDT bukan mudah kerana Kedah terpaksa mengharungi dua perlawanan play off. Play Off pertama, Kedah mampu membuat sesuatu kerana telah dipilih sebagai tuan rumah untuk menentang FC Tai Poo dari Hong Kong. Tai Poo merupakan juara liga Hong Kong 2019. Namun, semua akan rasa gementar untuk beraksi menentang pasukan Kedah di Stadium Darul Aman apatah lagi dibanjiri ribuan penyokong Kedah Darul Aman. Tai Poo Fc tidak dapat mencabar pasukan Kedah Darul Aman dan hasilnya, Kedah membelasah pasukan dari Hong Kong itu dengan defisit jarigan 5-1.
Setelah mengatasi cabaran tersebut, Kedah terpaksa menerima hakikat untuk bertemu dengan pasukan dari Korea Selatan, iaitu Seoul FC yang menghuni tangga ketiga Liga Korea. Seoul FC dipilih sebagai tuan rumah. Oleh itu, Kedah terpaksa terbang ke Korea untuk perlawanannya. Ia merupakan satu penghormatan buat pasukan kesayangan kita yang rata-ratanya dibarisi oleh ubi Kedah dan akan bertemu dengan pasukan bertaraf dunia yang turut dibarisi oleh Park Chu Young (bekas pemain Arsenal).
Walaupun beraksi pada musim sejuk dan padang tiruan, Kedah memulakan perlawanan dengan satu unit yang sukar untuk ditembusi. Selain itu, ketangkasan penjaga gol Shahril Saari telah menarik perhatian pasukan Seoul, di mana beliau menyelamatkan banyak peluang pasukan FC Seoul. Setelah bertahan untuk waktu yang agak panjang, pemain pertahanan Renan Alves melakukan kesilapan di mana tangannya menyentuh bola dan hasilnya, Renan dibuang padang dan seterusnya, FC Seoul telah diberikan penalti yang disudahkan oleh Park Chu Young. Kedah yang bermain dengan hanya 10 orang pemain untuk hampir 60 minit, tetap dapat memberikan saingan, di mana Kedah berjaya menjaringkan gol hasil sepakan percuma dari Badrol Bakhtiar yang disudahi dengan jaringan sendiri pemain FC Seoul. Kedah terpaksa menelan hakikat bahawa mereka tumpas kepada FC Seoul 4 berbalas 1. Apapun semangat pemain Kedah harus dipuji setelah berjaya menandingi pasukan bertaraf dunia seperti FC Seoul.
AFC CUP 2021
Setelah menjadi naib juara Liga Super 2020 (di mana hanya 11 perlawanan dijalankan akibat Covid), Kedah telah mendapat tiket untuk mewakili Malaysia di AFC Cup. Kedah telah ditemani Terengganu. Pasukan-pasukan yang dilihat pada gambar di bawah adalah pasukan yang telah diundi bersama Kedah.
Tetapi malangnya, akibat kes pandemik yang semakin meningkat dalam kalangan rantau Asean menyebabkan AFC tidak dapat mencari negara yang boleh menganjurkan AFC Cup Rantau Asean 2021. Oleh itu, Kedah FC dan Terengganu FC tidak dapat meneruskan cabaran pada musim 2021 di peringkat Asia.
AFC CUP 2022
Hasil usaha Kedah yang mendapatkan tangga kedua berturut-turut di belakang JDT dalam Liga Super, Kedah sekali lagi mendapat kepercayaan untuk mewakili Malaysia ke peringkat AFC Cup 2022. Kali ini, bersama pasukan KL City yang menumpaskan JDT dalam Piala Malaysia. Pada tahun ini, Kedah telah diundi bersama Kaya FC (Filipina) yang merupakan pasukan yang mengejutkan Shanghai Port dalam Champions League 2021 dan layak ke peringkat kumpulan. Selain itu, kumpulan ini juga bakal diwakili oleh pasukan Bali United dari Indonesia dan Visakha FC dari Cambodia
Baru-baru ini, AFC telah menentukan lokasi bagi kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan kita semestinya akan menyaksikan Kedah ke Denpasar, Indonesia pada bulan Jun nanti. Semoga maju kepada pasukan Kedah Darul Aman FC dalam mengharungi piala AFC nanti.
Kesemua penyertaan dan kejayaan di atas menunjukkan bahawa Kedah merupakan antara pasukan yang terawal untuk menjejakkan kaki ke peringkat Asia dan telah berjaya memberikan impak yang tinggi pada suatu masa dahulu. Kedah memang layak digelar antara pasukan yang terbaik di Malaysia pada peringkat Asia. Ayuh semua penyokong Kedah! Kita pastikan nama KEDAH akan ke persada yang lebih tinggi kelak. Pulun Kedah Pulun!!!
Ulasan
Catat Ulasan